Thursday 31 March 2011

Pulangnya Insan Yang Bernama Wan Ahmad Fadzil KepangkuanMU



  Kira-kira jam 10.30 malam, 1 Mac 2011 aku mendapat panggilan telefon dari adikku Rokiah yang mengkhabarkan bahawa saudaraku Wan Ahmad Fadzil kemalangan di Rhu Tapai. Kaget sebentar, lantas kutanya bagaimana keadaannya.. Kata adikku arwah Pa (panggilanku terhadap Wan Ahmad Fadzil) dikhabarkan koma manakala isteri dan anak-anaknya belum dapat dipastikan lagi status keadaannya. Aku terdiam, tapi dalam hatiku aku mengharapkan apa yang diperkatakan oleh adikku itu tidak benar, mungkin itu orang lain.. Tapi kalau ia memang benar? Walau apapun yang kufikirkan memang kenyataan  kemalangan itu melibatkan arwah Pa. Fikiranku berputar mengingatkan komen-komennya dalam laman facebook milikku..Dia seorang yang senang dibawa berbicara. Menurut cerita adikku, arwah Pa dalam perjalanan pulang ke Kampung Bari Besar yang juga merupakan tempat kelahiranku.. Selama ini arwah berada di Islamabad, Pakistan bertugas sebagai pegawai imigresen di sana..  Aku sudah mengetahui arwah Pa sudah berada di Malaysia melalui status facebook milknya yang tertulis " Menuju ke daerah bongsu Terengganu".. Mulutku tidak henti-henti memohon doa agar arwah Pa selamat begitu juga isteri dan anak-anaknya.. Sebenarnya ketika itu aku sedang sibuk menguruskan pelajar-pelajarku yang kerasukan. Tetapi setelah mendapat perkhabaran itu aku sudah tidak fokus.. Tugas menenangkan pelajar yang kerasukan diambil alih oleh pelajar-pelajar dan seorang kawanku, Nurul. Tepat pukul 11.30 malam aku menelefon adikku, kukira ada sedikit sinar namun perkhabaran duka yang kuterima.. Dia telah tiada.... Aku kelu, tiada apa yang dapat kuucapkan melainkan Innalillahiwainnailaihirajiuun.. Menitis lagi air mataku.. Sebenarnya pada petang itu aku sudah menangis sendirian di pejabat, rindu arwah ayah.. Tapi pada malamnya pula mataku bergenang lagi meratapi pemergian anak sepupu ayah..
  Arwah ayah pernah memuji arwah Pa.. Kata ayah " Pa ni budak baik, pandai pula tu"..... Ya memang benar ayah, dia seorang insan yang luhur akhlaknya dan amat lembut dalam budi bicaranya.. Memang arwah Pa seorang pelajar yang pintar.. Masih kuingat semasa di bangku sekolah rendah arwah Pa memang dikenali di kalangan guru-guru dan di kalangan pelajar kerana kepandaian dan kepetahannya berbicara. Apa yang paling ku ingat arwah Pa memenangi pertandingan pidato bahasa Inggeris. Aku juga pernah menyaksikannya berpidato di hadapan perhimpunan.. Ya, dia memang petah...
  Dulu semasa kanak-kanak dia selalu datang ke rumahku menemani kakaknya, Kak Zilah bertemu dengan kakakku, Kak Yah. Kak Zilah dan Kak Yah memang rapat, mungkin kerana mereka sebaya tambahan lagi bersaudara.. Jika berjumpa ada sahaja cerita yang membuatkan Kak Zilah melekat berjam-jam di rumahku. Pernah satu hari arwah Pa mengajak Kak Zilah pulang kerana dia sudah merasa lapar tetapi Kak Zilah tidak mengendahkan ajakannya itu.. Asyik sangat Kak Zilah berborak dengan Kak Yah. Lantas arwah Pa dengan selambanya ke dapur rumah kami dan membuka periuk nasi yang berada di atas atas dapur gas. Melihat keadaannya itu ibuku berkata, "kat rumah ni tak ada lauk, ikan singgang ada la Pa". Namun arwah Pa tidak kisah, dia mencapai pinggan dan berkata, " kita tak kisah Cik Su (panggilan arwah terhadap ibu), kita makan je apa-apa lauk pun". Memang betul, dia juga macam kami, lauk di rumahnya tidak jauh bezanya dengan lauk di rumah kami. Lucunya dia seorang yang sangat selamba. Dia begitu bersahaja keluar dengan sepinggan nasi dan makan di lamburan rumah kami. Telatahnya itu membuatkan Kak Yah dan Kak Zilah tergelak..Tersangat manis untuk dikenang.. Seingat aku, pada sebelah malamnya setelah ayahku balik dari kerja ibuku menceritakan telatah arwah Pa itu kepada arwah ayahku dan arwah ayahku tersenyum mendengarnya..
  Tapi insan luhur itu telah pergi.. Meninggalkan ibu bapa yang sangat bangga dengannya.. Meninggalkan anak isteri yang masih memerlukan perhatian dan kasih sayang.. Dan meninggalkan insan-insan sekeliling yang begitu menyenangi akhlaknya..Sesekali terdetik juga di pemikiran cetekku ini, apa yang ingin Tuhan tunjukkan.. Mengapa terlalu awal.. Tetapi aku yakin dengan ilmu Allah Yang Maha Agung, Dia lebih Mengetahuinya.. Kita sebagai hambaNya harus menerima ketetapan yang telah ditentukanNya.. Pada hari pengebumiannya aku sempat juga menghubungi adikku bertanya keadaan di rumah arwah ketika itu. Maklumlah pada pagi itu, ibu, kakak ipar, abang dan adikku sudah berada di rumah arwah. Kata adikku, isterinya kelihatan tabah.. Ya dia memang tabah tapi pergolakan dalam hatinya hanya Allah saja yang tahu.. Aku dari kejauhan ini tidak putus-putus mengirimkan doa untuk arwah dan keluarganya.. Aku juga turut merasa kesedihan yang mereka tanggung walaupun kesedihan yang kurasakan tidak sama dengan apa yang mereka alami... Ya Allah tabahkan mereka..
  Pada malam 15 Mac 2011 dapat juga aku menziarahi Mak Cik Yam (ibu arwah). Ketika itu aku cuti jadi kakakku kebetulan juga cuti dan berada di kampung mengajak aku menziarahi keluarga arwah.. Mak Cik Yam masih seperti dulu, rancak berbicara kadang-kadang membuatkan kami tertawa. Sayu rasanya bila dia berbicara tentang arwah Pa.. Walaupun di wajahnya terpancar keceriaan apabila dia menceritakan perihal anak kebanggaannya itu namun aku tahu betapa pedih hatinya menanggung.. Alhamdulillah mereka tabah.. Aku tahu, mereka akan menerima seadanya takdir Allah kerana aku kenal dengan keluarga ini, mereka kuat pegangan agamanya.. Keimana itu mengatasi segalanya.. Beban yang ditanggung itu sebenarnya ujian dari Allah..
  Damailah kamu di sana wahai hamba Allah yang berakhlak luhur.. Benarlah kata orang, jika kita menjaga akhlak kita di dunia pasti  bila kita sudah tiada nanti kita dikenangi dengan cara yang baik. Masya Allah, jika kita berbuat baik dengan sesiapapun nama kita menjadi semerbak kasturi bila kita sudah meninggalkan mereka.. Menjadi sebut-sebutan.. Kenangan yang kita tinggalkan untuk mereka adalah kenangan yang baik-baik untuk dikenang.. Ya benar, begitulah juga yang terjadi kepadamu Wan Ahmad Fadzil, mereka menyebut-nyebut tentang kebaikan dan kecantikan akhlakmu.. Bukan sahaja ahli keluargamu yang merasa kehilangan, malah orang-orang sekelilingmu walhal yang tidak begitu mengenalimu turut terkesan dan merasa kehilangan.. Tenanglah kamu di sana wahai insan yang berbudi-bahasa.. Begitu indahnya percaturan hidup yang diaturkan oleh Pencipta kita, Allah Ya 'Azim.. Dari Dia kita datang dan kepada Dia kita pulang.. Perjalanan pulangmu pada malam itu adalah perjalanan pulang kepadaNya yang abadi.. Pa, selamat bertemu denganNya.. Moga syurga untukmu wahai insan yang bernama Wan Ahmad Fadzil bin Wan Ahmad...
Al-Fatihah..

1 comment: